Sunday, February 13, 2011

bangsat!

Bangsat!

          Aku berhujan air mata. Merah padam mukaku. Nafasku semakin lama, semakin berat dan pantas. Dalam keadaan menggeletar menahan sebak, aku menggenggam tanganku seerat-eratnya. Mulutku kumat-kamit meludahkan kata-kata kesat. Fikiranku kusut-masai bercampur hiba dan marah. Aku memandang ke arah lelaki-lelaki yang diusung pergi itu. Bangsat! 

Awan hitam berkerumun di langit sementara kilat berkilau-kilauan serta guruh berdentuman. Sinaran matahari tersembunyi bagai malu membiaskan cahayanya. Hujan lebat mula turun menerjah ke bumi. Ayah masih belum pulang. Aku dan ibuku sedang gelisah menantikan kepulangannya. Ayah belum lagi menerima khabar tentang adikku, Maryam yang terlantar di rumah mak cikku untuk mendapatkan rawatan bagi penyakitnya. Sekonyong-konyong, pintu rumah diketuk seseorang. Semakin lama, semakin kuat.

          Kedengaran juga suara-suara asing menjerit-jerit dari luar. Bulu romaku meremang seketika. Timbul pula seribu soalan dalam mindaku. Siapakah mereka? Apa yang mereka mahukan? Mana ayah? Dan sebagainya. Tanpa berlengah lagi, ibuku cuba menelefon ayah. Namun, tiada jawapan. Ibu cuba sekali lagi. Masih tiada jawapan. Kemudian, ibu mengisyaratku agar pergi ke kamar tidur utama bersamanya.

          “Oi, buka pintu sekarang!” teriak satu suara garau dari luar sambil menggoncangkan pintu pagar dengan ganas.

          Aku dan ibuku hanya membisu tetapi minda kami riuh tertanya-tanya mengapa ayah masih belum pulang. Jantungku berdegap-degup antara cemas dan bimbang.

          Tiba-tiba, pintu rumahku terbuka. Terdengar tapak kaki orang masuk ke rumah kami. Jantungku semakin berdebar-debar. Kami dapat mendengar dengan jelas penceroboh-penceroboh itu keluar masuk setiap kamar tidur. Ibuku kelam-kabut mengunci kamar tidur utama. Penceroboh-penceroboh itu cuba membukanya tetapi tidak berhasil. Pintu ditendang bertalu-talu.

          Beberapa minit kemudian, pintu kelihatan bagai cuba dibuka dengan sesuatu. Rupa-rupanya, penceroboh menggunakan pisau dan malang sungguh, penceroboh-penceroboh itu berjaya membuka pintu! Aku mendapati diriku dan ibuku berkesemuka dengan penceroboh-penceroboh itu. Aku meneguk air liurku beberapa kali.
Tubuh mereka agak tegap sasa. Ketiga-tiganya memakai topeng yang sama; topeng naga. Di dalam genggaman salah seorang penceroboh itu adalah sebilah pisau. Dengan tak kusangka, penceroboh itu tiba-tiba berlari meluru kea rah ibuku dengan menghunus pisau itu. Ibu menyuruhkuberlari untuk menyelamatkan diri. Oleh sebab aku berbadan kecil macam semut, aku mampu menyelit melalui ruang kecil di antara kedua-dua penceroboh yang cuba menghalangku.

Aku dapat meloloskan diri tetapi terdengat suara lengkingan ibu menjerit. Senyap. Aku tidak sempat menoleh, hanya mampu berlari sepantas mungkin. Aku terjumpa sebuah kereta tersadai di tepi jalan raya. Alangkah terkejutnya aku apabila terlihat tubuh ayah kaku berlumuran darah. Ayah telah ditikam!

Hatiku terkoyak bagai dirusuk pisau yang tajam. Aku berasa hiba, takut dan marah serentak. Aku menangis tersedu-sedan. Dalam tangisanku, cuping telingaku menangkap siren kereta polis dan ambulans. Rupa-rupanya, Cik Ana, jiranku yang tinggal di bangle yang bertentangan bangloku, telah menghubungi pihak polis. Cik Ana telah menyaksikan rumah kami diceroboh. Ketiga-tiga penjenayah itu diberkas polis.

           Cik Ana yang terlihatku berkumat-kamit cuba menenangkan jiwaku dan menasihatiku supaya bersabar. Aku beristighfar berkali-kali untuk melenyapkan detik pahit yang terpahat kukuh dalam benakku. Cik Ana memberitahuku bahawa aku haruslah tabah dan redha menghadapi dugaan kerana Tuhan telah mengatur segalanya.


Sungguh terang cahaya bulan,
     Bulan mengambang sungguh menawan,
                   Haruslah sabar menempuh dugaan,
                        Hidup memang banyak cabaran.

          Aku membaca pantun yang tertera pada akhbar. Terasa bagai ditujukan kepadaku. Walaupun amat memedihkan untuk merelakan pemergian ibu bapaku yang tersayang, aku terpaksa melakukannya kerana Tuhan lebih menyayangi mereka. Aku berjanji akan melindungi adikku Maryam sebagaimana orang tuaku melindungiku selama ini. Aku menatap wajah-wajah pembunuh-pembunuh ibu bapaku. “Samseng Tailong ditangkap kerana membunuh.” Aku tidak percaya. Ini adalah satu penganiayaan kejam. Semoga mereka dapat hukuman yang setimpal.