Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Thursday, September 22, 2011

Besar Nanti...

Cerpen Besar Nanti oleh Aisyah Lyana (:


Percaya atau tidak, Hariz adalah anak ibu. Mungkin ibu belum kenali Hariz lagi kerana Hariz baru sahaja berumur tiga minggu.  Mungkin ibu tidak pernah impikan kewujudan Hariz. Namun tidak mengapa, sebentar lagi ibu akan ketahui lebih lanjut lagi tentang diri ini, Hariz janji. Nama yang sudah ditakdirkan untuk Hariz ialah Hariz bin Zuhairi. Hariz ada sepasang mata coklat yang sentiasa berkerlipan dan rambut lembut yang diselimuti warna kopi manis – macam ciri-ciri ibu.  Memang pun Hariz belum memiliki ini semua, tetapi Hariz akan dikurniakan anggota-anggota badan ini tiba waktunya. Hariz amat gembira kerana sudah lima tahun ibu nantikan seorang cahayamata.

Ibu sungguh girang bagai burung camar yang berterbangan bebas di langit. Hari ini merupakan hari yang paling gemilang dalam hidup ibu. Seorang bijak yang digelar doktor itu telah mengesahkan kewujudan Hariz dalam rahim ibu. Ibu bagaikan tidak percayakan cuping telinganya. Tanpa disedari, sebutir manik yang berkilat menitis dari kelopak matanya – tanda kesyukuran.  Hariz dapat rasakan perasaan ghairah bergelombang di hati ibu. Pasti ibu tidak sabar menyebarkan khabar mengejutkan ini kepada semua orang. Pulang dari kamar itu, ibu hanya fikirkan tentang Hariz sepanjang hari sambil mengukir sekuntum senyuman. Hariz suka apabila ibu senyum; Hariz turut ikut sama. Senyuman ibulah perkara pertama yang akan Hariz lihat apabila keluar nanti. Apabila besar nanti, Hariz ingin menjadi seorang doktor supaya dapat menggembirakan mereka yang bakal menjadi ibu.

Hari mengganti hari, bulan terus merangkak. Ibu menghitung jarinya. Sementara menunggu kepulangan ayah, Hariz sudah tumbuh sepasang tangan dan kaki. Akhirnya ibu dapat lihat Hariz: perut ibu semakin besar bagaikan belon mengembung setiap saat berdetik. Ibu bangga akan Hariz! Ibu sering dendangkan lagu untuk Hariz. Hariz gemar dibuai kemerduan suara ibu. Nyanyian ibu tidak pernah gagal menggembirakan Hariz setiap hari. Apabila ibu bercakap dengan Hariz, Hariz rasa disayangi. Tunggu sahaja apabila Hariz mempunyai suara. Akan Hariz luahkan segalanya kepada ibu. Hariz suka apabila ibu meletakkan kedua tapak tangan di perut ibu. Hariz berasa selamat dan dilindungi. Sungguh selamat. Hariz boleh menggerakkan anggota badan sekarang. Hati ibu telonjak gembira apabila ibu dan nenek pergi membeli baju-baju bayi untuk Hariz tetapi tiada yang memikat hati ibu. Ibu memutuskan untuk menjahitkan baju untuk Hariz. Sedang menjahit, jarum tajam sekonyong-konyong menusuk jari ibu. Lantas ibu mencuci jarinya. Apabila dilahirkan nanti, Hariz akan menjadi bayi yang paling sempurna untuk ibu dan tidak akan biarkan ibu cedera di mana-mana bahagian tubuh.  Hariz amat menyayangi ibu.

Hari yang dinanti-nantikan itu tiba. Ayah akhirnya pulang setelah tiga bulan bekerja di Amerika. Ibu tidak dapat menahan sabarnya ingin memberitahu semua tentang Hariz. Hariz juga tidak sabar ingin mendengar suara dan reaksi ayah. Ayah terperanjat bukan main kepalang lagi tatkala melihat ibu berbadan dua. Tanpa amaran, tangannya lekas melemparkan pukulan. Hariz boleh rasakan ibu jatuh ke belakang. Kesan merah tertera pada sebelah kanan muka ibu. Ibu berhujan airmata. Tangisan.  Suatu bunyi yang Hariz bencikan. Hariz berasa gelisah dan khuatir akan keadaan ibu. Ibu dan ayah berteriak antara satu sama lain. Ayah meludahkan kata-kata kesat kepada ibu. Ayah asyik mengulangi pertanyaan, pernyataan dan perkataan yang sama, “Kau mengandung anak siapa?”, “Pasti kau curang sewaktu aku ke luar negara!” dan “Mustahil!” Jelas, ayah marah dan tidak sukakan kewujudan Hariz. Namun setelah itu, ayah mendakap ibu, meminta maaf dan mengatakan bahawa dia amat menyayangi ibu. Ibu, Hariz tidak faham, adakah benar ayah menyayangi ibu? Kalau benar, mengapa ayah sanggup mencederakan ibu? Di mata ibu, mungkin ayah itu baik. Namun, Hariz rasa ayah itu kejam.

 Tujuh hari berlalu. Mereka bertengkar terusan akan perihal yang sama. Ibu, mengapa ayah tidak percaya yang Hariz ini anak ayah? Bukankah ayah sepatutnya gembira akan mendapat seorang anak setelah lima tahun menunggu? Mengapakah ayah bencikan Hariz? Apa salah Hariz? Hariz dapati ibu tidak lagi bercakap dengan Hariz. Adakah semuanya baik-baik saja?

Pada suatu malam, ayah pulang rumah. Baunya hapak dan dia tidak bercakap dengan betul. Jalannya tidak lurus dan tiap-tiap kali dia terjatuh ke lantai. Matanya yang merah tidak dibuka, tidak ditutup. Pertengkaran masih berulang walaupun keadaannya sebegitu. Dia asyik menimbulkan perkara tentang kandungan bayi. Dia sering menyebut, “Hapuskan…” dan katakan “Tidak mungkin kerana saya ada azoospermia. ” Apa itu azoospermia? Ibu cuba tenangkan ayah. Tiba-tiba ayah memukul ibu lagi. Dia mengugut. Ibu menangis tanpa henti di biliknya yang dikunci. Hariz rasa ibu hiba dan sakit. Bila besar nanti, Hariz janji akan melindungi dan menyelamatkan ibu daripada terus dipukul oleh ayah. Hariz akan bertarung nyawa sekalipun demi untuk ibu.

Ibu tidak pernah berborak atau membelai Hariz semenjak ayah pulang. Hariz cemas. Ibu dah tak sayangkan Hariz lagi, ke? Hariz masih sayangkan ibu. Masa ibu tidurlah satu-satunya waktu Hariz dapat rasakan ibu. Ibu tidur mereng sambil memeluk perut ibu. Hariz berasa selamat. Mengapa ibu tidak berbuat sedemikian apabila bangun setiap pagi?

Hari ini Hariz sudah berusia 20 minggu. Ibu tidak banggakan Hariz? Hari ini kita menuju ke suatu tempat yang baharu. Hariz sungguh ghairah! Ibu, kita berada di hospital, bukan? Hariz tidak sabar ingin keluar. Hariz sudah beritahu ibu yang Hariz azamkan menjadi seorang doktor. Hariz harap ibu seghairah Hariz. Hariz tidak sabar.

…Ibu, Hariz berasa khuatir dan takut. Jantung ibu berdebar-debar sepantas kilat. Hariz tidak tahu apa yang difikirkan ibu. Doktor sedang bertutur dengan ibu. Ibu, Hariz rasa suatu perkara akan berlaku sebentar lagi. Tolonglah, beritahu Hariz yang ibu sayangkan Hariz. Hariz amat menyayangi ibu.

Ibu, ibu! Apa yang sedang mereka lakukan pada Hariz? Sungguh perit! Pedih! Aduh, ibu, hentikan mereka! Sakit! Ibu, tolong Hariz, hentikan mereka! Jangan sentap tangan Hariz! Oh, kaki Hariz putus bu! Hancur kepala Hariz! Tapi hati Hariz lebih hancur Bu! Ibu!!

Ibu. Jangan risau, Hariz dikelilingi malaikat di suatu tempat sempurna yang dinamakan ‘Syurga’. Walaupun nikmat di sini, Hariz masih inginkan bersama ibu, hidup di dunia, lindungi ibu dan menjadi doktor. Ibu tak sayangkan Hariz lagi, ke? Tergamak ibu lakukan ini. Hariz sungguh menyayangi ibu. Apakah salah Hariz, ibu? Walaupun memeritkan dihantar ke alam lain sebegini, sesungguhnya Hariz lebih sedih kerana ibu tidak mahu membela Hariz. Hariz cuma ingin hidup melihat senyuman ibu dan apabila besar nanti, Hariz nak menjadi doktor.  Salahkah bu?  Bencikah ibu pada Hariz?
Hariz sayangkan ibu…

Setiap pengguguran bermaksud satu jantung yang tidak akan berdegup lagi, suatu suara yang tidak akan pernah didengari, sepasang mata yang tidak akan pernah melihat, sepasang tangan yang tidak akan pernah menyentuh, sepasang kaki yang tidak akan pernah berlari…dan suatu nyawa yang tidak akan pernah hidup.

Ibu membuka surat doktor lalu membaca bersama ayah. Terdapat pernyataan yang amat mengejutkan; “Zuhairi mempunyai kondisi “azoospermia” di mana dia tidak dapat menjana mani dan tidak dapat memiliki anak. Namun, kondisinya telah membaik sejak setahun lalu kepada kondisi  “oligospermia” yang bermaksud mani boleh dijana, walaupun jumlah mani itu agak sedikit. Kondisi “oligospermia” ini membolehkan isteri mendapat anak.” Sah, janin itu mempunyai DNA daripada kedua ibu bapa. Ibu mengalihkan pandangannya ke arah ayah. Perasaan kesal merasuk tubuh ibu. Iris matanya pudar… 

Wednesday, May 11, 2011

biru.

BIRU.


          Matahari masih berduka dan malu menampakkan wajah. Awan gemawan kelabu berarak mendung diikuti angin kencang. Dari penjuru stesen MRT, dapat aku lihat unggas-unggas berterbangan mencari tempat berlindung. Sehelai dua sampah sarap turut berterbangan dibawa angin. Anjing dan kucing berkejaran melepas dendam. Seorang kanak-kanak menangis kehilangan ibu. Walaupun pokok hari tak berapa baik, sekumpulan remaja masih leka bermain bola. Semuanya kulihat jelas. Jelas sekali. Namun, dunia ini bagaikan cakera padat DVD dan aku telah  tertekan butang ‘Mute’ -tayangan filem tanpa bunyi.

Aku melihat manusia datang dan pergi meneruskan kehidupan masing-masing tanpa menghiraukan kewujudanku. Siapalah aku? Kehadiranku tidak sedikit langsung mempengaruhi sesiapa di sini. Jari jemariku yang diselimuti debu masih kuat menggenggam sebuah tabung dana yang berwarna biru. Ada nota yang tertampal; “Dermalah agar saya dapat rawatan secepat mungkin. Terima kasih.”

Aku mengheretkan kakiku menuju ke arah seorang pemuda. Ingin aku meminta derma, tetapi perkataan- perkataan yang keluar dari bibirku adalah ‘Oh ong eme.’ Pemuda itu hanya menjauhkan dirinya dariku sambil mendengus kasar. Sebutir permata terjun dari kelopak mata diikuti butiran air mata. Mindaku beralih ke suatu peristiwa pahit yang telah merubah hidupku.       

          Tiga bulan yang lalu, cuping telingaku tidak hanya mendengar kesunyian dan lidahku berdaya bertutur lancar. Pada saat itu, mentari yang malu membiaskan cahayanya semakin lama semakin berani menerangkan dunia. Aku terenjut-enjut keluar dari bangloku kerana kaki kiriku yang terluka. Aku menghidupkan enjin kereta BMWku lalu memandu untuk ke pejabat. Aku menghelakan nafas panjang. Aku lelah dengan pekerjaanku. Setiap hari bangun pukul tujuh, harus tiba di pejabat pada pukul lapan, ditugaskan membuatkan teh susu untuk majikan, terangkan jadual kepada CEO Syarikat, dan sebagainya. Amat membosankan. Namun, sekurang-kurangnya aku dapat nikmati kemewahan kerana gajiku yang lumayan.

          Sedang aku memandu, tekak terasa dahaga, perut pula berbunyi lagu keroncong. Aku pun singgah di stesen MRT Admiralty lalu mengambil langkah ke arah McDonald’s untuk membeli sarapan. Sewaktu aku menuju ke arah restoran segera tersebut, aku terdengar seseorang mendendangkan lagu Langit Biru.

“Bintang kecil, di langit yang biru,
Amat banyak menghias angkasa,
Aku ingin terbang dan menari,
Jauh tinggi di tempat kau berada.”  

          Sungguh memedihkan telinga. Aku menoleh ke kananku. Seorang pemuda yang berkaca mata gelap telah menyanyikan lagu itu. Dia sedang memegang sebuah tabung derma berwarna biru. Ada sehelai kertas tertampal pada tabung itu; “Maaf saya tidak dapat lihat anda, terima kasih kerana menghargai muzik saya. Dermalah agar saya dapat dirawati dengan cepat. Terima kasih.”

“Menyemak aje.” Aku menjeling dan berlalu pergi.
         
          Aku beratur. Ramai orang ingin membeli sarapan baharu McDonald’s -McBreakfast. Sesekali aku mencuri pandang ke jam tanganku. Kedua jam tangan menunjuk ke angka nombor tujuh. Aku masih ada 25 minit lagi. Akhirnya giliran aku. Aku membeli Sausage McMuffin, McBistro serta McCafe Double Chocolate Frappe. Aku keluar dari McDonalds lalu menuju ke arah keretaku. Tiba-tiba, kaki kiriku bagaikan dirodok sebilah pisau. Kakiku yang sudah luka dilukakan lagi. Aku jatuh menerjah ke bumi. Sarapan yang belum aku jamah bersepah di lantai. McCafe aku tertumpah ke pakaianku. Sut hitamku telah dicemari. Dengan geram, aku bangun dengan bebola mata yang tajam mencari pesalah. Di sebelah kiriku seorang lelaki sedang memegang sebatang tongkat putih serta sebuah tabung dana biru. Dia tertunduk-tunduk padaku berkali-kali. Aku meninggikan kening mata lalu melihat makanan yang tertumpah.

          “Oi, orang buta! Kau tahu tak makanan ni sarapan aku? Aku keluarkan hampir $20, tahu! Buang duit aku saja!” Kata-kata kesat aku ludahkan, “Kau tahu tak, orang macam kau inilah membawa beban kepada masyarakat.” Aku lihat nota pada tabung derma itu sekali lagi. “Oh, untuk pengetahuan kau, suara kau tak merdu. Telingaku bagaikan hendak meletup mendengar suara kau!”
         
Orang buta itu tertunduk. Kemungkinan besar dia berasa malu dikutuk. Matanya mula basah. “Maafkan saya. Encik, fahamilah bahawa saya benar-benar tidak sengaja. Tidak perlulah Encik menghina diri saya. Saya juga ada perasaan.”

          Aku menggenggam tanganku. Minuman McDonald’s yang tertumpah itu aku kutip lalu tuangkan ke atas kepala orang buta itu. Setelah itu aku menendang tabung dananya. Orang buta itu menutup mukanya dengan kedua belah tangan. Senyuman sinis terukir di wajahku. Aku berasa puas hati. Beberapa puluh bebola mata mengekoriku. Mereka yang telah saksikan kejadian tadi hanya mampu tercengang. Aku menghidupkan enjin kereta lalu beredar dari situ.

          Dalam pertengahan perjalananku ke pejabat, jam tanganku berdetik lapan kali. Aku panik. Majikanku akan memarahiku lagi. Akhirnya, aku hanya sempat sampai di pejabat pada pukul 8.45 akibat kesesakan jalan raya.
         
          Tiba di pejabat, majikanku sedang berbicara dengan pembantu peribadinya. Tanpa meminta maaf, aku meluru ke arah tempatku. Kali ini, walaupun CEO Lee melihatku dari ekor matanya, dia tidak berkata apa-apa. Dia tidak memarahiku seperti biasa. Aku menghelakan nafas lega.

Namun, apabila aku tiba di mejaku, aku tidak nampak namaku pada ‘tag’. Tiada fail, kertas, kalendar, komputer riba atau alat tulis yang ada di atas meja. Aku hairan. Aku membuka laci-laci dan kabinet-kabinet. Kosong. Semuanya sudah dikemas dan dibersihkan. Adakah meja kerjaku dipindahkan?

          Tiba-tiba, CEO syarikatku CEO Lee memanggil namaku. Aku menoleh. CEO Lee kelihatan serius. Jari-jemarinya sedang mendakap sepucak surat. Dia memberikan surat itu kepadaku. Aku bingung. Apabila aku membaca judul surat itu sahaja, mataku terarah padanya. Tidak perlu aku baca isi kandungannya; judul surat itu sudah mencukupi: Surat Notis Dibuang Kerja. Aku menepuk dahiku sementara CEO Lee tunduk. Dia menjelaskan keputusannya. Katanya aku selalu lambat ke tempat kerja, tidak banyak memberi sumbangan, asyik berkhayal dalam mesyuarat dan selalu menyalahgunakan wang syarikat untuk perbelanjaan peribadi. CEO Lee telah menemui seseorang pekerja cekap yang dapat menggantikan posisi aku. Dia turut menambah bahawa segala kenikmatan yang aku ada adalah milik syarikat. Rumah bangloku dan kereta BMWku akan ditarik dalam tempoh satu minggu manakala segala kad kredit aku telah disekat.

          Dengan perasaan geram, aku keluar dari pejabat. Aku tidak endahkan barang-barang kerjaku yang telah dikemaskan untuk pemergianku. Aku menuju terus ke arah kereta. Aku memandu dengan laju. Terlalu banyak perkara terapung-apung dalam mindaku. Rasa marah, geram, sedih, semuanya bercampur baur.

“Kejam!!! Semuanya tak guna!! Tak guna!!” Aku menjerit sekuat hati sambil menghentak-hentak stereng kereta. Sungguh tidak aku duga, pada masa yang sama sebuah lori laju membelok di hadapanku. Aku cuba mengelak dan mengawal kereta.

‘Bang!!!!!’ Segalanya berlaku terlalu pantas. Keretaku terbabas dari jalan raya lalu melanggar sebatang pohon. Aku tidak tahu siapa yang memanggil ambulans dan berapa lama aku tidak sedarkan diri di hospital. Sejak musibah itu, aku tidak dapat mendengar. Menurut doktor, oleh sebab aku mengalami kecederaan di kepala, mindaku amat terganggu. Aku tidak dapat mengawal pertuturanku dengan jelas. Wang simpanan bankku hangus membayar bil hospital. Aku tidak punya apa-apa lagi.

Sekonyong-konyong, seorang pemuda menepuk bahuku. Aku terjaga dari lamunanku. Aku menoleh. Wajahnya mirip seseorang yang pernah aku kenali. Bibirnya bergerak, tetapi tiada suatu perkataan pun yang dapat aku dengar. Aku mengerutkan dahi. Pemuda itu pun mengeluarkan sekeping kertas kosong lalu menulis nota. Aku membaca.

 ‘Janganlah menangis. Saya pernah lalui pengalaman yang sama. Malah, saya dilayan lebih teruk daripada kamu. Saya telah dihina dan dimaki di hadapan orang ramai. Malah, saya ‘dimandikan’ dengan minuman manis. Terdapat banyak orang yang tiada hati perut di dunia ini. Namun saya percaya, setiap insan akan mendapat balasan yang dia patut dapat.’

Mataku memerah air mata. Aku tidak dapat menahan lagi sebak dalam hatiku. Pemuda itu pun membuka dompetnya lalu mengeluarkan sekeping kertas berwarna merah. Dia menyumbatkannya dalam lubang tabung derma biruku. Dia senyum. Ingin aku meminta maaf serta mengucapkan terima kasih, tetapi yang keluar dari mulutku adalah, ‘Ngaah! Ngaah ye. Mek ceh, mek ceh’ Aku melihat tabung danaku yang berwarna biru lalu cuba menyanyikan lagu Langit Biru walaupun aku tidak dapat menyebut dengan jelas. Oh Tuhan, ampunilah dosa hambamu ini.  
               

Sunday, February 13, 2011

bangsat!

Bangsat!

          Aku berhujan air mata. Merah padam mukaku. Nafasku semakin lama, semakin berat dan pantas. Dalam keadaan menggeletar menahan sebak, aku menggenggam tanganku seerat-eratnya. Mulutku kumat-kamit meludahkan kata-kata kesat. Fikiranku kusut-masai bercampur hiba dan marah. Aku memandang ke arah lelaki-lelaki yang diusung pergi itu. Bangsat! 

Awan hitam berkerumun di langit sementara kilat berkilau-kilauan serta guruh berdentuman. Sinaran matahari tersembunyi bagai malu membiaskan cahayanya. Hujan lebat mula turun menerjah ke bumi. Ayah masih belum pulang. Aku dan ibuku sedang gelisah menantikan kepulangannya. Ayah belum lagi menerima khabar tentang adikku, Maryam yang terlantar di rumah mak cikku untuk mendapatkan rawatan bagi penyakitnya. Sekonyong-konyong, pintu rumah diketuk seseorang. Semakin lama, semakin kuat.

          Kedengaran juga suara-suara asing menjerit-jerit dari luar. Bulu romaku meremang seketika. Timbul pula seribu soalan dalam mindaku. Siapakah mereka? Apa yang mereka mahukan? Mana ayah? Dan sebagainya. Tanpa berlengah lagi, ibuku cuba menelefon ayah. Namun, tiada jawapan. Ibu cuba sekali lagi. Masih tiada jawapan. Kemudian, ibu mengisyaratku agar pergi ke kamar tidur utama bersamanya.

          “Oi, buka pintu sekarang!” teriak satu suara garau dari luar sambil menggoncangkan pintu pagar dengan ganas.

          Aku dan ibuku hanya membisu tetapi minda kami riuh tertanya-tanya mengapa ayah masih belum pulang. Jantungku berdegap-degup antara cemas dan bimbang.

          Tiba-tiba, pintu rumahku terbuka. Terdengar tapak kaki orang masuk ke rumah kami. Jantungku semakin berdebar-debar. Kami dapat mendengar dengan jelas penceroboh-penceroboh itu keluar masuk setiap kamar tidur. Ibuku kelam-kabut mengunci kamar tidur utama. Penceroboh-penceroboh itu cuba membukanya tetapi tidak berhasil. Pintu ditendang bertalu-talu.

          Beberapa minit kemudian, pintu kelihatan bagai cuba dibuka dengan sesuatu. Rupa-rupanya, penceroboh menggunakan pisau dan malang sungguh, penceroboh-penceroboh itu berjaya membuka pintu! Aku mendapati diriku dan ibuku berkesemuka dengan penceroboh-penceroboh itu. Aku meneguk air liurku beberapa kali.
Tubuh mereka agak tegap sasa. Ketiga-tiganya memakai topeng yang sama; topeng naga. Di dalam genggaman salah seorang penceroboh itu adalah sebilah pisau. Dengan tak kusangka, penceroboh itu tiba-tiba berlari meluru kea rah ibuku dengan menghunus pisau itu. Ibu menyuruhkuberlari untuk menyelamatkan diri. Oleh sebab aku berbadan kecil macam semut, aku mampu menyelit melalui ruang kecil di antara kedua-dua penceroboh yang cuba menghalangku.

Aku dapat meloloskan diri tetapi terdengat suara lengkingan ibu menjerit. Senyap. Aku tidak sempat menoleh, hanya mampu berlari sepantas mungkin. Aku terjumpa sebuah kereta tersadai di tepi jalan raya. Alangkah terkejutnya aku apabila terlihat tubuh ayah kaku berlumuran darah. Ayah telah ditikam!

Hatiku terkoyak bagai dirusuk pisau yang tajam. Aku berasa hiba, takut dan marah serentak. Aku menangis tersedu-sedan. Dalam tangisanku, cuping telingaku menangkap siren kereta polis dan ambulans. Rupa-rupanya, Cik Ana, jiranku yang tinggal di bangle yang bertentangan bangloku, telah menghubungi pihak polis. Cik Ana telah menyaksikan rumah kami diceroboh. Ketiga-tiga penjenayah itu diberkas polis.

           Cik Ana yang terlihatku berkumat-kamit cuba menenangkan jiwaku dan menasihatiku supaya bersabar. Aku beristighfar berkali-kali untuk melenyapkan detik pahit yang terpahat kukuh dalam benakku. Cik Ana memberitahuku bahawa aku haruslah tabah dan redha menghadapi dugaan kerana Tuhan telah mengatur segalanya.


Sungguh terang cahaya bulan,
     Bulan mengambang sungguh menawan,
                   Haruslah sabar menempuh dugaan,
                        Hidup memang banyak cabaran.

          Aku membaca pantun yang tertera pada akhbar. Terasa bagai ditujukan kepadaku. Walaupun amat memedihkan untuk merelakan pemergian ibu bapaku yang tersayang, aku terpaksa melakukannya kerana Tuhan lebih menyayangi mereka. Aku berjanji akan melindungi adikku Maryam sebagaimana orang tuaku melindungiku selama ini. Aku menatap wajah-wajah pembunuh-pembunuh ibu bapaku. “Samseng Tailong ditangkap kerana membunuh.” Aku tidak percaya. Ini adalah satu penganiayaan kejam. Semoga mereka dapat hukuman yang setimpal.  

Friday, January 7, 2011

perpisahan.

                               Perpisahan.

Terasa berat hatiku untuk meninggalkan kampungku ini. Sebuah sejarah yang panjang telah tercatat di sini. Aku merenung ke langit yang luas. Teringat pula suatu peristiwa yang pahit macam hempedu. Aku mengalirkan airmata. Betapa kesalnya diriku pada waktu itu. Tindakan aku yang bodoh itu telah menyebabkan perpisahan antara aku dan ibu bapaku. Akulah punca perpisahan itu.

Aku memeluk dan mencium ibu bapaku sebelum menuju ke dewan berlepas untuk menaiki pesawatku. Aku telah diundang untuk memasuki Universiti Cambridge di Cambridge, United Kingdom dengan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, atau STPM, yang amat cemerlang. Aku melambaikan tanganku ke arah ibu bapaku.

Namun, kos pesawat, yuran sekolah, rumah sewa dan wang perbelanjaanku sungguh mahal. Keluargaku pula miskin. Orang tuaku terpaksa membiayai segala kos keperluanku supaya aku dapat belajar di universiti untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan negeri. Mereka pun bekerja bertungkus-lumus selama tiga tahun meskipun sudah tua. Namun begitu, duit yang mereka perolehi tidak mencukupi kos keperluanku. Mereka terpaksa menjual rumah mereka lalu berpindah ke sebuah pondok yang kecil di desa yang sama demi untuk mendapatkan wang untuk diriku. Tambahan lagi,  orang tuaku yang semakin berusia telah menggunakan wang dari wang simpanan mereka. Sementara itu, aku menikmati kemewahan yang diberikan di England. Ibu bapaku tidak pernah menceritakan kepayahan mereka kepada diriku.


Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Keputusan peperiksaan pun diumumkan. Apabila keputusanku diumumkan, aku melonjak dengan kegirangan sambil menangis tanda bersyukur.  Aku berjaya mendapat gred pujian untuk kesemua subjek. Ibu bapaku juga menerima surat mengandungi keputusan peperiksaanku. Mereka puas hati dan amat bangga terhadapku. Usaha mereka sejak kebelakangan ini tidak sia-sia. Mereka dapat juga menemui anak tunggal mereka yang tercinta. Berita itu pun tersebar di suratkhabar dan berita tersebut telah menjadi buah mulut orang ramai di desaku di Malaysia.


Aku tiba di lapangan terbang di tanah airku. Ramai orang telah datang untuk menyambut kepulanganku. Bebola mataku berkeliaran dari kanan ke kiri. Mana orang tuaku? Sekonyong-konyong, aku terserempak mereka dengan pakaian yang compang-camping. Mereka kelihatan comot dan kotor. Jantungku berdebar-debar. Fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Patutkah aku akui bahawa mereka orang tuaku? Aku malu.


Ibu bapaku menghampiriku sepantas kilat. Ibuku mendakapku lalu menciumku. Orang ramai di lapangan terbang tercengang melihat perbuatan mereka. Tanpa berfikir dua kali, aku menolak ibuku sehingga dia tergolek ke lantai. Kepalanya berlumuran darah. Rasa kesal merasuk tubuhku.


“Tergamak kau lakukan ini kepada ibu! Setelah ibu bersusah payah mencari wang untukmu, kau berbuat begini. Kau langsung tak hargai jasa ibu. Tidak pernah ibu mengharapkan balasan tetapi kau anak derhaka! Kau bagaikan kacang lupakan kulit. Pintu syurgamu telah ditutup, wahai anakku!” ujar ibuku dengan nada sedih dan marah serentak.


Ibuku mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan segera aku melaung ‘Ibu! Maafkanku!’ berkali-kali sambil mencium-cium tapak kakinya. Bapaku yang menyaksikan kejadian itu tiba-tiba diserang sakit jantung. Ibu bapaku meninggal dunia sekaligus. Aku berhujan airmata tanpa henti. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Aku terpisah dengan ibu bapaku. Aku tidak berdaya lakukan apa-apa. Aku menangis darah sekalipun, mereka tidak akan kembali ke dunia ini lagi.


Aku mengesat airmataku lalu menyumbatkan bagasi ke dalam teksi. Aku seharusnya menghargai jasa orang tuaku. Aku gerun menantikan nasibku. Terlalu banyak memori pahit yang terputik di kampung ini. Aku berpaling lalu menatap desaku buat kali terakhirnya.

Monday, November 29, 2010

nina bobok.

Nina Bobok.

Aku pernah ternampak lelaki tersebut tetapi di mana ya. Aku ragu-ragu untuk menyapanya. Pada ketika itu, dia sedang menyandar pada sebuah tembok. Lelaki itu berpakaian compang-camping dan lusuh sekali.  Mungkin itu satu-satunya baju yang dia miliki.  Mukanya comot dan dari jarak 2 meter, bau hangit sudah dapat menerpa lubang hidungku.  Rambutnya yang panjang kusut-masai.  Dia memiliki misai dan janggut yang panjang. Kukunya kelihatan hitam, panjang dan kotor. Tangannya kasar dan kelihatan berkematu. Begitu juga dengan kakinya.  Aku tak nampak dia memakai sebarang alas kaki.  Entah bila kali terakhir dia mandi, aku tak tahu.  Aku cuba mendekatinya.

  “Nina bobok oh oh oh Nina Bobok... Nina bobok digigit nyamuk..”

Ya, lagu itu.  Lagu itu, aku pernah dengar.  Merdu dan mencengkam sanubari.  Mengasyikkan.  Aneh.  Ada perasaan aneh yang menyelinap dalam pembuluh darahku dan membuak rasa dalam hati.  Kakiku bagai di awangan mengikut kelunakan lagu itu.  Jiwa terasa syahdu dan asyik.  Tak kusedari, aku sudah berada beberapa langkah di hadapannya.

Sekonyong-konyong, dia menyoalku dengan suaranya yang dalam dan garau, “Sekarang dah pukul berapa?”

Oh! Baru aku teringat! Inilah pak cik yang selalu menanyakan waktu apabila ada orang menghampirinya.  

“Pukul 2.30 petang,pak cik,” aku menjawab pantas.

Setelah mendapat jawapan, lelaki itu menyambung nyanyiannya.  Asyik.

“Nina bobok oh oh oh Nina Bobok... Nina bobok digigit nyamuk..”

Setelah mengingat-ingat, aku rasa aku pernah ternampaknya beberapa kali di Bedok sebelum ini. Aku hairan. Macam mana dia boleh tiba di Woodlands dari Bedok? Dia berjalan kaki ke naik teksi? Tak mungkin lelaki itu menaiki bas atau MRT.  Pasti menumpang lain merungut kerana bau busuknya.  Teksi pun tak berani mengambil penumpang sepertinya.  Takut bau badannya melekat dalam teksi.  Suwey! 

Kalau dia berjalan kaki dari Bedok, mungkin juga.  Aku dapat melihat kakinya yang berketak kerana sebelah seluar terlipat paras lutut.  Berurat sasa bagai akar banir.  Pasti kuat berjalan dan berlari.  Aku pasti sekali, lelaki ini bukan lelaki sembarangan.  Ada sesuatu tentang dirinya yang amat menarik perhatianku.

“Pakcik dah makan?”  Aku bertanya.  Tiada jawapan.  Lelaki itu sedang asyik mendendangkan lagu itu.  Hanya lagu itu.  Tiba-tiba dia tersentak.

“Nina!  Nina jangan pergi!!”  Lelaki itu tiba-tiba histeria memandang mataku.  Matanya begitu redup penuh mengharap, penuh syahdu, penuh rahsia.  Aku terpaku.  Tak sanggup menyangkal atau menolaknya. 

“Nina!  Jangan tinggalkan abah!!”  Lelaki itu dengan cepat mencapai kakiku.  Aku jadi takut.

“Jangan pakcik, saya bukan Nina! Tolong.  Tolong!”  Aku menjerit sekuat hati. Beberapa orang cuba meleraikan pautan tangan sasa lelaki itu daripada kakiku.  Tangannya mencengkam kejap dan erat sekali.  Aku jatuh terduduk.  Pautan masih tak dilepaskan.  Aku semakin takut dan meraung sekuat hati.    

Entah bila, sebuah kereta polis tiba.  Mungkin ada orang yang menelefon polis.  Dengan bantuan polis, mereka akhirnya berjaya memisahkan aku daripada lelaki itu.

“Nina, jangan tinggalkan abah lagi!  Kasihanlah kat abah!!”  Lelaki itu meraung menyayat hati.

Kasihan.  Jiwanya sepi.  Mungkin jiwanya telah dirampas penderitaan.  Aku percaya, ada sesuatu yang menjadikan lelaki itu tidak dapat membezakan antara kewajaran, khayalan dan kenyataan.

“Nina, dah pukul berapa?!”  Lelaki itu sempat menjerit kepadaku sebelum dimasukkan ke dalam kereta polis.   

Aku menjeling jam tanganku. 
  
“Pukul 2.37 petang,pak cik...” aku menjawab sambil berlinangan airmata.  Kedengaran lagu itu didendangkan lagi.

  “Nina bobok oh oh oh Nina Bobok...Nina bobok digigit nyamuk..."