BIRU.
Matahari masih berduka dan malu menampakkan wajah. Awan gemawan kelabu berarak mendung diikuti angin kencang. Dari penjuru stesen MRT, dapat aku lihat unggas-unggas berterbangan mencari tempat berlindung. Sehelai dua sampah sarap turut berterbangan dibawa angin. Anjing dan kucing berkejaran melepas dendam. Seorang kanak-kanak menangis kehilangan ibu. Walaupun pokok hari tak berapa baik, sekumpulan remaja masih leka bermain bola. Semuanya kulihat jelas. Jelas sekali. Namun, dunia ini bagaikan cakera padat DVD dan aku telah tertekan butang ‘Mute’ -tayangan filem tanpa bunyi.
Aku melihat manusia datang dan pergi meneruskan kehidupan masing-masing tanpa menghiraukan kewujudanku. Siapalah aku? Kehadiranku tidak sedikit langsung mempengaruhi sesiapa di sini. Jari jemariku yang diselimuti debu masih kuat menggenggam sebuah tabung dana yang berwarna biru. Ada nota yang tertampal; “Dermalah agar saya dapat rawatan secepat mungkin. Terima kasih.”
Aku mengheretkan kakiku menuju ke arah seorang pemuda. Ingin aku meminta derma, tetapi perkataan- perkataan yang keluar dari bibirku adalah ‘Oh ong eme.’ Pemuda itu hanya menjauhkan dirinya dariku sambil mendengus kasar. Sebutir permata terjun dari kelopak mata diikuti butiran air mata. Mindaku beralih ke suatu peristiwa pahit yang telah merubah hidupku.
Tiga bulan yang lalu, cuping telingaku tidak hanya mendengar kesunyian dan lidahku berdaya bertutur lancar. Pada saat itu, mentari yang malu membiaskan cahayanya semakin lama semakin berani menerangkan dunia. Aku terenjut-enjut keluar dari bangloku kerana kaki kiriku yang terluka. Aku menghidupkan enjin kereta BMWku lalu memandu untuk ke pejabat. Aku menghelakan nafas panjang. Aku lelah dengan pekerjaanku. Setiap hari bangun pukul tujuh, harus tiba di pejabat pada pukul lapan, ditugaskan membuatkan teh susu untuk majikan, terangkan jadual kepada CEO Syarikat, dan sebagainya. Amat membosankan. Namun, sekurang-kurangnya aku dapat nikmati kemewahan kerana gajiku yang lumayan.
Sedang aku memandu, tekak terasa dahaga, perut pula berbunyi lagu keroncong. Aku pun singgah di stesen MRT Admiralty lalu mengambil langkah ke arah McDonald’s untuk membeli sarapan. Sewaktu aku menuju ke arah restoran segera tersebut, aku terdengar seseorang mendendangkan lagu Langit Biru.
“Bintang kecil, di langit yang biru,
Amat banyak menghias angkasa,
Aku ingin terbang dan menari,
Jauh tinggi di tempat kau berada.”
Sungguh memedihkan telinga. Aku menoleh ke kananku. Seorang pemuda yang berkaca mata gelap telah menyanyikan lagu itu. Dia sedang memegang sebuah tabung derma berwarna biru. Ada sehelai kertas tertampal pada tabung itu; “Maaf saya tidak dapat lihat anda, terima kasih kerana menghargai muzik saya. Dermalah agar saya dapat dirawati dengan cepat. Terima kasih.”
“Menyemak aje.” Aku menjeling dan berlalu pergi.
Aku beratur. Ramai orang ingin membeli sarapan baharu McDonald’s -McBreakfast. Sesekali aku mencuri pandang ke jam tanganku. Kedua jam tangan menunjuk ke angka nombor tujuh. Aku masih ada 25 minit lagi. Akhirnya giliran aku. Aku membeli Sausage McMuffin, McBistro serta McCafe Double Chocolate Frappe. Aku keluar dari McDonalds lalu menuju ke arah keretaku. Tiba-tiba, kaki kiriku bagaikan dirodok sebilah pisau. Kakiku yang sudah luka dilukakan lagi. Aku jatuh menerjah ke bumi. Sarapan yang belum aku jamah bersepah di lantai. McCafe aku tertumpah ke pakaianku. Sut hitamku telah dicemari. Dengan geram, aku bangun dengan bebola mata yang tajam mencari pesalah. Di sebelah kiriku seorang lelaki sedang memegang sebatang tongkat putih serta sebuah tabung dana biru. Dia tertunduk-tunduk padaku berkali-kali. Aku meninggikan kening mata lalu melihat makanan yang tertumpah.
“Oi, orang buta! Kau tahu tak makanan ni sarapan aku? Aku keluarkan hampir $20, tahu! Buang duit aku saja!” Kata-kata kesat aku ludahkan, “Kau tahu tak, orang macam kau inilah membawa beban kepada masyarakat.” Aku lihat nota pada tabung derma itu sekali lagi. “Oh, untuk pengetahuan kau, suara kau tak merdu. Telingaku bagaikan hendak meletup mendengar suara kau!”
Orang buta itu tertunduk. Kemungkinan besar dia berasa malu dikutuk. Matanya mula basah. “Maafkan saya. Encik, fahamilah bahawa saya benar-benar tidak sengaja. Tidak perlulah Encik menghina diri saya. Saya juga ada perasaan.”
Aku menggenggam tanganku. Minuman McDonald’s yang tertumpah itu aku kutip lalu tuangkan ke atas kepala orang buta itu. Setelah itu aku menendang tabung dananya. Orang buta itu menutup mukanya dengan kedua belah tangan. Senyuman sinis terukir di wajahku. Aku berasa puas hati. Beberapa puluh bebola mata mengekoriku. Mereka yang telah saksikan kejadian tadi hanya mampu tercengang. Aku menghidupkan enjin kereta lalu beredar dari situ.
Dalam pertengahan perjalananku ke pejabat, jam tanganku berdetik lapan kali. Aku panik. Majikanku akan memarahiku lagi. Akhirnya, aku hanya sempat sampai di pejabat pada pukul 8.45 akibat kesesakan jalan raya.
Tiba di pejabat, majikanku sedang berbicara dengan pembantu peribadinya. Tanpa meminta maaf, aku meluru ke arah tempatku. Kali ini, walaupun CEO Lee melihatku dari ekor matanya, dia tidak berkata apa-apa. Dia tidak memarahiku seperti biasa. Aku menghelakan nafas lega.
Namun, apabila aku tiba di mejaku, aku tidak nampak namaku pada ‘tag’. Tiada fail, kertas, kalendar, komputer riba atau alat tulis yang ada di atas meja. Aku hairan. Aku membuka laci-laci dan kabinet-kabinet. Kosong. Semuanya sudah dikemas dan dibersihkan. Adakah meja kerjaku dipindahkan?
Tiba-tiba, CEO syarikatku – CEO Lee memanggil namaku. Aku menoleh. CEO Lee kelihatan serius. Jari-jemarinya sedang mendakap sepucak surat. Dia memberikan surat itu kepadaku. Aku bingung. Apabila aku membaca judul surat itu sahaja, mataku terarah padanya. Tidak perlu aku baca isi kandungannya; judul surat itu sudah mencukupi: Surat Notis Dibuang Kerja. Aku menepuk dahiku sementara CEO Lee tunduk. Dia menjelaskan keputusannya. Katanya aku selalu lambat ke tempat kerja, tidak banyak memberi sumbangan, asyik berkhayal dalam mesyuarat dan selalu menyalahgunakan wang syarikat untuk perbelanjaan peribadi. CEO Lee telah menemui seseorang pekerja cekap yang dapat menggantikan posisi aku. Dia turut menambah bahawa segala kenikmatan yang aku ada adalah milik syarikat. Rumah bangloku dan kereta BMWku akan ditarik dalam tempoh satu minggu manakala segala kad kredit aku telah disekat.
Dengan perasaan geram, aku keluar dari pejabat. Aku tidak endahkan barang-barang kerjaku yang telah dikemaskan untuk pemergianku. Aku menuju terus ke arah kereta. Aku memandu dengan laju. Terlalu banyak perkara terapung-apung dalam mindaku. Rasa marah, geram, sedih, semuanya bercampur baur.
“Kejam!!! Semuanya tak guna!! Tak guna!!” Aku menjerit sekuat hati sambil menghentak-hentak stereng kereta. Sungguh tidak aku duga, pada masa yang sama sebuah lori laju membelok di hadapanku. Aku cuba mengelak dan mengawal kereta.
‘Bang!!!!!’ Segalanya berlaku terlalu pantas. Keretaku terbabas dari jalan raya lalu melanggar sebatang pohon. Aku tidak tahu siapa yang memanggil ambulans dan berapa lama aku tidak sedarkan diri di hospital. Sejak musibah itu, aku tidak dapat mendengar. Menurut doktor, oleh sebab aku mengalami kecederaan di kepala, mindaku amat terganggu. Aku tidak dapat mengawal pertuturanku dengan jelas. Wang simpanan bankku hangus membayar bil hospital. Aku tidak punya apa-apa lagi.
Sekonyong-konyong, seorang pemuda menepuk bahuku. Aku terjaga dari lamunanku. Aku menoleh. Wajahnya mirip seseorang yang pernah aku kenali. Bibirnya bergerak, tetapi tiada suatu perkataan pun yang dapat aku dengar. Aku mengerutkan dahi. Pemuda itu pun mengeluarkan sekeping kertas kosong lalu menulis nota. Aku membaca.
‘Janganlah menangis. Saya pernah lalui pengalaman yang sama. Malah, saya dilayan lebih teruk daripada kamu. Saya telah dihina dan dimaki di hadapan orang ramai. Malah, saya ‘dimandikan’ dengan minuman manis. Terdapat banyak orang yang tiada hati perut di dunia ini. Namun saya percaya, setiap insan akan mendapat balasan yang dia patut dapat.’
Mataku memerah air mata. Aku tidak dapat menahan lagi sebak dalam hatiku. Pemuda itu pun membuka dompetnya lalu mengeluarkan sekeping kertas berwarna merah. Dia menyumbatkannya dalam lubang tabung derma biruku. Dia senyum. Ingin aku meminta maaf serta mengucapkan terima kasih, tetapi yang keluar dari mulutku adalah, ‘Ngaah! Ngaah ye. Mek ceh, mek ceh…’ Aku melihat tabung danaku yang berwarna biru lalu cuba menyanyikan lagu Langit Biru walaupun aku tidak dapat menyebut dengan jelas. Oh Tuhan, ampunilah dosa hambamu ini.