Friday, July 29, 2011

aku bangga menjadi orang Melayu.

Hari ini adalah hari terakhir Bulan Bahasa. Aku agak kecewa dengan diriku. Akibat kesibukan dengan hal-hal sekolah, aku tidak mampu mengetepikan masa untuk menandingi pertandingan-pertandingan atau menghadiri acara-acara berfaedah yang dianjurkan sempena kempen Bulan Bahasa. Aku baru sedar bahawa Bulan Bahasa telah menyumbangkan dan menjalankan idea-idea segar dan baru, serta mengmbil inisiatif untuk merakamkan lagu-lagu rakyat dalam bahasa Melayu. Namun, hendakku sentuh satu aspek, iaitu penggunaan bahasa Melayu kita.


Dalam isu penggunaan bahasa ibunda kita, kita, sebagai orang Melayu sendirilah yang memilih mahu atau tidaknya menggunakannya.


Guna atau tidak, itu adalah pilihan kita.


Aku agak sedih kerana bertutur dalam bahasa Melayu semakin sukar bagi diriku. Kini aku asyik tergagap-gagap melafazkan perkataan-perkataan dalam bahasa ibunda ini. Seringkali perlu diriku ini fikirkan terjemahan bagi patah-patah perkataan Inggeris kepada Melayu. Aku semakin kekok berbual dalam bahasa Melayu. Semacam sudah tidak natural bagi dirikuMungkin sebabnya ialah aku menuntut di sebuah sekolah di mana murid-murid Melayu di sana tidak biasa atau tiada minat dalam penggunaan bahasa Melayu. 


Sungguh menghampakan, bukan? Aku rasakan bahawa anak-anak Melayu yang berpendidikan tinggi atau sudah berjaya berasa malu dibesarkan sebagai seorang Melayu. Aku harapkan bahawa walhal ini tidaklah benar, kerana bagi diriku sendiri, aku sangat meminati sastera dan menulis cerpen-cerpen, tetapi sayangnya aku kesuntukan masa.  


Pada pendapatku jika kita tulus dalam menggunakan bahasa Melayu, kita dapat menyebarkannya dan menggalak lebih ramai orang menggunakan bahasa Melayu. 
Usahlah kita terus memperkata perkara-perkara negatif tentang penggunaan bahasa ini dan sebaliknya bangga menggunakannya, walaupun hanya satu ayat sehari. 


Aku mempunyai kawan-kawan Cina rakyat Malaysia. Sejujur-jujurnya, aku akui bahawa aku amat kagum dengan cara mereka menggunakan bahasa Melayu baku dengan begitu sopan dan lantang tanpa ada perlunya menggunakan sepatah perkataan Inggeris pun. Manakala di tanah ini, suara-suara Melayu hampir tidak kedengaran bertutur dalam bahasa ibunda. Jika ada pun, pertuturan-pertuturan hanya didengar di dalam kelas HML. Bila digunakan pun hanya terpaksa semata-semata. 


Tidak malukah kita apabila orang yang berbangsa lain bertutur bahasa kita dengan begitu fasihnya, tetapi kita sebagai orang Melayu langsung tidak boleh mengungkap sepotong ayat tanpa kesilapan bahasa? Masakan orang Melayu tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu apbila bangsa-bangsa lain pandai bertutur dalam bahasa kita?


Di sekolah juga, rakan-rakan Cinaku yang pelajari Bahasa Melayu asas mengungkap ayat-ayat mudah seperti; "Saya sangat gembira.", "Selamat berkenalan." dan "Maafkan saya.". Memang benar, ayat-ayat demikian kosa kata dan strukturnya mudah. Namun, berapa banyak kali kita gunakan ayat-ayat itu? Bagi diriku, aku rasa sudah bertahun-tahun aku tak gunakan perkataan "gembira" dalam percakapan harian. Malang sungguh. 


Kita wajar menyokong kuat usaha Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dalam melestarikan Bulan Bahasa kerana sokongan padu adalah penting bagi menjayakan usaha memperjuangkan bahasa Melayu. 


Inginku ambil contoh Kempen Bertutur Bahasa Mandarin. Menurut kenalanku, rata-rata penggiat bahasa itu juga mengalami cabaran serupa dengan kita dalam melestarikan bahasa mereka. Walaupun sekarang mereka sudah bertapak lebih 20 tahun, mereka masih lagi meneruskan usaha mereka itu. Nampaknya generasi muda Singapura sudah terpesong jalan dipengaruhi bahasa dan budaya Barat. 


Mungkin kita tidak akan berjaya 100%, tetapi kita perlu terus tunjukkan kesungguhan dalam melakukannya. Warisan masa depan perlu memperjuangkan bahasa yang indah ini, jikalau tidak, lenyaplah bahasa, bangsa dan budaya Melayu.


Kesan positifnya ialah semua orang Melayu tahu tentang kewujudan Bulan Bahasa.
Bulan Bahasa juga bukan hanya terhad kepada golongan penggiat bahasa seperti para sasterawan dan penulis, bahkan kini melibatkan lebih banyak pihak dan lapisan masyarakat. Kita masih ada banyak ruang dan peluang mempertingkat pencapaian masyarakat dan bahasa Melayu ini.


Oleh itu, aku akan bekerja keras memperjuangkan bahasa ini dan menyatukan masyarakat Melayu di NJC kerana telah dilantik sebagai Presiden MLDDS bagi murid-murid berperingkatan Junior (Junior High MLDDS President). Aku tahu 
tanggungjawab yang diberikan agak berat kerana pelajar-pelajar Melayu di sekolahku tidak begitu minat atau gemar dengan bahasa Melayu, apalagi nikmati hablur bahasa ataupun turut sebarkan dan lestarikan bahasa Melayu bersamaku.


Namun, bak kata pepatah, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni.


Oleh itu, apa pun yang bakal kita hadapi pada masa hadapan dalam penggunaan bahasa Melayu, marilah kita melaluinya dengan tangan terbuka. 


Akanku laksanakan tanggungjawabku dengan bersungguh-sungguh...sebagai seorang anak Melayu, seorang penggiat bahasa Melayu dan seorang ketua Melayu...kerana aku bangga menjadi orang Melayu.




Biarlah ringan sama-sama kita jinjing dan berat sama-sama kita memikulnya. Bersatu kita teguh...

No comments:

Post a Comment