Friday, August 12, 2011

Remaja, jagalah penampilanmu...

Karangan Perbincangan: “Mengapakah seorang remaja perlu menjaga penampilannya?”

        Pernahkah anda sedar berapa lama anda perlukan untuk menyiapkan diri sebelum menjejak kaki ke luar rumah? Terlintas di fikiran anda mengapa masa persiapan yang diambil begitu lama? Berapa banyak kali anda menyoal diri jika wajah di cermin itu kelihatan sempurna? Sejak bila anda mengambil berat tentang penampilan diri anda? Sekerap manakah anda ingin dilihat anggun atau tampan di mata orang? Esei ini akan membincangkan betapa pentingnya menjaga penampilan diri lebih-lebih lagi bagi seorang remaja.
        Bagi kebanyakan orang, zaman remaja masing-masing adalah jangka masa yang paling gemilang. Pada waktu ini, remaja mula matang dan perasaan terhadap golongan jantina yang lain mula terbentuk, setelah para remaja juga akan menjadi lebih prihatin tentang penampilan diri. Untuk tujuan menarik perhatian orang atau memikat hati; itulah sebab-sebabnya remaja mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan diri.
        Para remaja perlu menjaga penampilan dirinya. Selalunya, masyarakat kita menganggap kita berdasarkan cara kita bergaya apabila kita di luar. Cara gaya atau pakaian seseorang itu mencerminkan personaliti dirinya. Contohnya, seseorang yang tidak menyelitkan baju dalam seluar, mempunyai kolar ternaik, rambut yang tidak terurus dan kelihatan comot atau kotor sering dikaitkan sebagai seorang yang malas, kurang bersih dan tidak bermoral. Namun seseorang remaja perempuan yang betudung dan berpakaian kemas menutup aurat apabila keluar bersama kawan-kawan sering dianggap sopan, bersih, patuh dan baik pada pandangan pertama. Ini menunjukkan perbezaan besar di antara pandangan pertama terhadap seseorang itu hanya dengan cara gaya mereka.
        Selain cara gaya pemakaian, cara seseorang itu bertutur juga dinilai orang ramai. Contohnya, seorang remaja yang menggunakan “Aku” dan “Kau” apabila berborak bersama pakcik-pakcik tua dikirakan biadap manakala seseorang perempuan itu dianggap lemah-lembut dan sopan pada pandangan pertama jika dia menggunakan “saya” dan “awak” ketika bertutur. Remaja perlu bijak menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai mengikut konteks atau masa-masa tertentu agar tidak disalahfahamkan orang ramai.
        Cara kita berjalan, atau perbuatan kita, turut menjadi factor dalam penilaian diri kita terutama anggapan pertama. Jika selalu berjalan tegak, seseorang itu dianggap yakin dan konfiden tetapi jikalau sering berbongkok, dikatakan pula senang letih atau lemah. Kelakuan kita di tempat awam juga termasuk dalam penampilan diri. Misalnya, seseorang perempuan yang terpekik-terlolong dan terkangkang apabila dia duduk digolongkan dalam kategori “Minah rep”. Namun, seseorang yang membaca buku Sains kononnya digolongkan dalam kategori “Nerd”.
        Menjaga penampilan diri teramatlah penting kerana orang menilai diri kita. Selalunya, anggapan pertama mempunyai impak besar kerana apa yang dilihat pada orang itu melambangkan personality dirinya. Contohnya pada suatu temuduga untuk ke universiti yang berprestij, terdapat dua orang murid yang sama pintarnya. Namun pada hari temuduga tersebut, seseorang itu datang berpeluh-peluh dengan rambut yang berserabut dan pakaian yang kotor tetapi yang satunya kelihatan bersih, yakin dan berbau wangi. Tentunya murid kedua itu akan mendapat peluang yang lebih tinggi untuk menyertai institusi tersebut.
        Penampilan seseorang itu bukan sahaja, malah mencerminkan caranya diasuh ibu bapa. Bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Selalunya asuhan yang baik mempengaruh orang itu agar menjaga tatatertib dan pertuturan. Oleh itu, penampilan remaja sebagai seorang anak boleh mencemari atau mengharumkan nama baik keluarganya. Dalam kata lain, penampilan seseorang itu adalah suatu factor dalam penilaian latar belakang keluarganya.
        Penampilan seseorang itu menarik kawan-kawan baru yang mempunyai cirri-ciri yang sama. Kononnya, dua orang sahabat ini berkawan apabila mereka sedari akan cita rasa yang sama. Ini agak membahayakan bagi remaja yang tidak pandai menjaga imejnya kerana boleh menarik sahabat-sahabat yang kurang baik atau kurang bermoral. Teman-teman sedemikian boleh mempengaruh remaja tersebut dalam membuat keputusan yang salah atau melaksanakan kerja-kerja atau kelakuan yang salah atau haram. Tambahan pula, oleh sebab kawan-kawan beginilah, hidup remaja itu mungkin akan dihina dan dipandang rendah. Sekali lagi saya tekankan, imej yang ditonjolkan remaja ini patut diambil berat.
       Kesimpulannya, imej remaja penting kerana diri remaja dianggap berdasarkan pertuturan, kelakuan dan cara gaya. Penampilan diri mempengaruh pandangan orang ramai terhadap cara didikan remaja tersebut; dan juga menarik rakan-rakan yang mempunyai cita rasa yang sama. Namun, saya ingin tekankan kepada masyarakat tentang sifat diskriminasi yang tidak perlu wujud. Kita tidak bolehlah terus menggolongkan orang atau stereotaip-stereotaip atau memandan rendah terhadap orang lain kerana tidak kesemua anggapan pertama adalah benar. Oleh sebab kita in manusia yang kerap membuat kesilapan, fikiran atau pendapat mungkin terpesong mengikut perasaan terhadap sesuatu. Perlulah kita sentiasa menjaga atau mengawasi cara kita membuat penilaian agar terhapuslah sifat diskriminasi itu. 

No comments:

Post a Comment