Nina Bobok.
Aku pernah ternampak lelaki tersebut tetapi di mana ya. Aku ragu-ragu untuk menyapanya. Pada ketika itu, dia sedang menyandar pada sebuah tembok. Lelaki itu berpakaian compang-camping dan lusuh sekali. Mungkin itu satu-satunya baju yang dia miliki. Mukanya comot dan dari jarak 2 meter, bau hangit sudah dapat menerpa lubang hidungku. Rambutnya yang panjang kusut-masai. Dia memiliki misai dan janggut yang panjang. Kukunya kelihatan hitam, panjang dan kotor. Tangannya kasar dan kelihatan berkematu. Begitu juga dengan kakinya. Aku tak nampak dia memakai sebarang alas kaki. Entah bila kali terakhir dia mandi, aku tak tahu. Aku cuba mendekatinya.
“Nina bobok oh oh oh Nina Bobok... Nina bobok digigit nyamuk..”
Ya, lagu itu. Lagu itu, aku pernah dengar. Merdu dan mencengkam sanubari. Mengasyikkan. Aneh. Ada perasaan aneh yang menyelinap dalam pembuluh darahku dan membuak rasa dalam hati. Kakiku bagai di awangan mengikut kelunakan lagu itu. Jiwa terasa syahdu dan asyik. Tak kusedari, aku sudah berada beberapa langkah di hadapannya.
Sekonyong-konyong, dia menyoalku dengan suaranya yang dalam dan garau, “Sekarang dah pukul berapa?”
Oh! Baru aku teringat! Inilah pak cik yang selalu menanyakan waktu apabila ada orang menghampirinya.
“Pukul 2.30 petang,pak cik,” aku menjawab pantas.
Setelah mendapat jawapan, lelaki itu menyambung nyanyiannya. Asyik.
“Nina bobok oh oh oh Nina Bobok... Nina bobok digigit nyamuk..”
Setelah mengingat-ingat, aku rasa aku pernah ternampaknya beberapa kali di Bedok sebelum ini. Aku hairan. Macam mana dia boleh tiba di Woodlands dari Bedok? Dia berjalan kaki ke naik teksi? Tak mungkin lelaki itu menaiki bas atau MRT. Pasti menumpang lain merungut kerana bau busuknya. Teksi pun tak berani mengambil penumpang sepertinya. Takut bau badannya melekat dalam teksi. Suwey!
Kalau dia berjalan kaki dari Bedok, mungkin juga. Aku dapat melihat kakinya yang berketak kerana sebelah seluar terlipat paras lutut. Berurat sasa bagai akar banir. Pasti kuat berjalan dan berlari. Aku pasti sekali, lelaki ini bukan lelaki sembarangan. Ada sesuatu tentang dirinya yang amat menarik perhatianku.
“Pakcik dah makan?” Aku bertanya. Tiada jawapan. Lelaki itu sedang asyik mendendangkan lagu itu. Hanya lagu itu. Tiba-tiba dia tersentak.
“Nina! Nina jangan pergi!!” Lelaki itu tiba-tiba histeria memandang mataku. Matanya begitu redup penuh mengharap, penuh syahdu, penuh rahsia. Aku terpaku. Tak sanggup menyangkal atau menolaknya.
“Nina! Jangan tinggalkan abah!!” Lelaki itu dengan cepat mencapai kakiku. Aku jadi takut.
“Jangan pakcik, saya bukan Nina! Tolong. Tolong!” Aku menjerit sekuat hati. Beberapa orang cuba meleraikan pautan tangan sasa lelaki itu daripada kakiku. Tangannya mencengkam kejap dan erat sekali. Aku jatuh terduduk. Pautan masih tak dilepaskan. Aku semakin takut dan meraung sekuat hati.
Entah bila, sebuah kereta polis tiba. Mungkin ada orang yang menelefon polis. Dengan bantuan polis, mereka akhirnya berjaya memisahkan aku daripada lelaki itu.
“Nina, jangan tinggalkan abah lagi! Kasihanlah kat abah!!” Lelaki itu meraung menyayat hati.
Kasihan. Jiwanya sepi. Mungkin jiwanya telah dirampas penderitaan. Aku percaya, ada sesuatu yang menjadikan lelaki itu tidak dapat membezakan antara kewajaran, khayalan dan kenyataan.
“Nina, dah pukul berapa?!” Lelaki itu sempat menjerit kepadaku sebelum dimasukkan ke dalam kereta polis.
Aku menjeling jam tanganku.
“Pukul 2.37 petang,pak cik...” aku menjawab sambil berlinangan airmata. Kedengaran lagu itu didendangkan lagi.
“Nina bobok oh oh oh Nina Bobok...Nina bobok digigit nyamuk..."
No comments:
Post a Comment