Friday, January 7, 2011

perpisahan.

                               Perpisahan.

Terasa berat hatiku untuk meninggalkan kampungku ini. Sebuah sejarah yang panjang telah tercatat di sini. Aku merenung ke langit yang luas. Teringat pula suatu peristiwa yang pahit macam hempedu. Aku mengalirkan airmata. Betapa kesalnya diriku pada waktu itu. Tindakan aku yang bodoh itu telah menyebabkan perpisahan antara aku dan ibu bapaku. Akulah punca perpisahan itu.

Aku memeluk dan mencium ibu bapaku sebelum menuju ke dewan berlepas untuk menaiki pesawatku. Aku telah diundang untuk memasuki Universiti Cambridge di Cambridge, United Kingdom dengan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, atau STPM, yang amat cemerlang. Aku melambaikan tanganku ke arah ibu bapaku.

Namun, kos pesawat, yuran sekolah, rumah sewa dan wang perbelanjaanku sungguh mahal. Keluargaku pula miskin. Orang tuaku terpaksa membiayai segala kos keperluanku supaya aku dapat belajar di universiti untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan negeri. Mereka pun bekerja bertungkus-lumus selama tiga tahun meskipun sudah tua. Namun begitu, duit yang mereka perolehi tidak mencukupi kos keperluanku. Mereka terpaksa menjual rumah mereka lalu berpindah ke sebuah pondok yang kecil di desa yang sama demi untuk mendapatkan wang untuk diriku. Tambahan lagi,  orang tuaku yang semakin berusia telah menggunakan wang dari wang simpanan mereka. Sementara itu, aku menikmati kemewahan yang diberikan di England. Ibu bapaku tidak pernah menceritakan kepayahan mereka kepada diriku.


Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Keputusan peperiksaan pun diumumkan. Apabila keputusanku diumumkan, aku melonjak dengan kegirangan sambil menangis tanda bersyukur.  Aku berjaya mendapat gred pujian untuk kesemua subjek. Ibu bapaku juga menerima surat mengandungi keputusan peperiksaanku. Mereka puas hati dan amat bangga terhadapku. Usaha mereka sejak kebelakangan ini tidak sia-sia. Mereka dapat juga menemui anak tunggal mereka yang tercinta. Berita itu pun tersebar di suratkhabar dan berita tersebut telah menjadi buah mulut orang ramai di desaku di Malaysia.


Aku tiba di lapangan terbang di tanah airku. Ramai orang telah datang untuk menyambut kepulanganku. Bebola mataku berkeliaran dari kanan ke kiri. Mana orang tuaku? Sekonyong-konyong, aku terserempak mereka dengan pakaian yang compang-camping. Mereka kelihatan comot dan kotor. Jantungku berdebar-debar. Fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Patutkah aku akui bahawa mereka orang tuaku? Aku malu.


Ibu bapaku menghampiriku sepantas kilat. Ibuku mendakapku lalu menciumku. Orang ramai di lapangan terbang tercengang melihat perbuatan mereka. Tanpa berfikir dua kali, aku menolak ibuku sehingga dia tergolek ke lantai. Kepalanya berlumuran darah. Rasa kesal merasuk tubuhku.


“Tergamak kau lakukan ini kepada ibu! Setelah ibu bersusah payah mencari wang untukmu, kau berbuat begini. Kau langsung tak hargai jasa ibu. Tidak pernah ibu mengharapkan balasan tetapi kau anak derhaka! Kau bagaikan kacang lupakan kulit. Pintu syurgamu telah ditutup, wahai anakku!” ujar ibuku dengan nada sedih dan marah serentak.


Ibuku mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan segera aku melaung ‘Ibu! Maafkanku!’ berkali-kali sambil mencium-cium tapak kakinya. Bapaku yang menyaksikan kejadian itu tiba-tiba diserang sakit jantung. Ibu bapaku meninggal dunia sekaligus. Aku berhujan airmata tanpa henti. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Aku terpisah dengan ibu bapaku. Aku tidak berdaya lakukan apa-apa. Aku menangis darah sekalipun, mereka tidak akan kembali ke dunia ini lagi.


Aku mengesat airmataku lalu menyumbatkan bagasi ke dalam teksi. Aku seharusnya menghargai jasa orang tuaku. Aku gerun menantikan nasibku. Terlalu banyak memori pahit yang terputik di kampung ini. Aku berpaling lalu menatap desaku buat kali terakhirnya.

No comments:

Post a Comment