Cerpen Besar Nanti oleh Aisyah Lyana (:
Percaya atau tidak, Hariz adalah anak ibu. Mungkin ibu belum kenali Hariz lagi kerana Hariz baru sahaja berumur tiga minggu. Mungkin ibu tidak pernah impikan kewujudan Hariz. Namun tidak mengapa, sebentar lagi ibu akan ketahui lebih lanjut lagi tentang diri ini, Hariz janji. Nama yang sudah ditakdirkan untuk Hariz ialah Hariz bin Zuhairi. Hariz ada sepasang mata coklat yang sentiasa berkerlipan dan rambut lembut yang diselimuti warna kopi manis – macam ciri-ciri ibu. Memang pun Hariz belum memiliki ini semua, tetapi Hariz akan dikurniakan anggota-anggota badan ini tiba waktunya. Hariz amat gembira kerana sudah lima tahun ibu nantikan seorang cahayamata.
Ibu sungguh girang bagai burung camar yang berterbangan bebas di langit. Hari ini merupakan hari yang paling gemilang dalam hidup ibu. Seorang bijak yang digelar doktor itu telah mengesahkan kewujudan Hariz dalam rahim ibu. Ibu bagaikan tidak percayakan cuping telinganya. Tanpa disedari, sebutir manik yang berkilat menitis dari kelopak matanya – tanda kesyukuran. Hariz dapat rasakan perasaan ghairah bergelombang di hati ibu. Pasti ibu tidak sabar menyebarkan khabar mengejutkan ini kepada semua orang. Pulang dari kamar itu, ibu hanya fikirkan tentang Hariz sepanjang hari sambil mengukir sekuntum senyuman. Hariz suka apabila ibu senyum; Hariz turut ikut sama. Senyuman ibulah perkara pertama yang akan Hariz lihat apabila keluar nanti. Apabila besar nanti, Hariz ingin menjadi seorang doktor supaya dapat menggembirakan mereka yang bakal menjadi ibu.
Hari mengganti hari, bulan terus merangkak. Ibu menghitung jarinya. Sementara menunggu kepulangan ayah, Hariz sudah tumbuh sepasang tangan dan kaki. Akhirnya ibu dapat lihat Hariz: perut ibu semakin besar bagaikan belon mengembung setiap saat berdetik. Ibu bangga akan Hariz! Ibu sering dendangkan lagu untuk Hariz. Hariz gemar dibuai kemerduan suara ibu. Nyanyian ibu tidak pernah gagal menggembirakan Hariz setiap hari. Apabila ibu bercakap dengan Hariz, Hariz rasa disayangi. Tunggu sahaja apabila Hariz mempunyai suara. Akan Hariz luahkan segalanya kepada ibu. Hariz suka apabila ibu meletakkan kedua tapak tangan di perut ibu. Hariz berasa selamat dan dilindungi. Sungguh selamat. Hariz boleh menggerakkan anggota badan sekarang. Hati ibu telonjak gembira apabila ibu dan nenek pergi membeli baju-baju bayi untuk Hariz tetapi tiada yang memikat hati ibu. Ibu memutuskan untuk menjahitkan baju untuk Hariz. Sedang menjahit, jarum tajam sekonyong-konyong menusuk jari ibu. Lantas ibu mencuci jarinya. Apabila dilahirkan nanti, Hariz akan menjadi bayi yang paling sempurna untuk ibu dan tidak akan biarkan ibu cedera di mana-mana bahagian tubuh. Hariz amat menyayangi ibu.
Hari yang dinanti-nantikan itu tiba. Ayah akhirnya pulang setelah tiga bulan bekerja di Amerika. Ibu tidak dapat menahan sabarnya ingin memberitahu semua tentang Hariz. Hariz juga tidak sabar ingin mendengar suara dan reaksi ayah. Ayah terperanjat bukan main kepalang lagi tatkala melihat ibu berbadan dua. Tanpa amaran, tangannya lekas melemparkan pukulan. Hariz boleh rasakan ibu jatuh ke belakang. Kesan merah tertera pada sebelah kanan muka ibu. Ibu berhujan airmata. Tangisan. Suatu bunyi yang Hariz bencikan. Hariz berasa gelisah dan khuatir akan keadaan ibu. Ibu dan ayah berteriak antara satu sama lain. Ayah meludahkan kata-kata kesat kepada ibu. Ayah asyik mengulangi pertanyaan, pernyataan dan perkataan yang sama, “Kau mengandung anak siapa?”, “Pasti kau curang sewaktu aku ke luar negara!” dan “Mustahil!” Jelas, ayah marah dan tidak sukakan kewujudan Hariz. Namun setelah itu, ayah mendakap ibu, meminta maaf dan mengatakan bahawa dia amat menyayangi ibu. Ibu, Hariz tidak faham, adakah benar ayah menyayangi ibu? Kalau benar, mengapa ayah sanggup mencederakan ibu? Di mata ibu, mungkin ayah itu baik. Namun, Hariz rasa ayah itu kejam.
Tujuh hari berlalu. Mereka bertengkar terusan akan perihal yang sama. Ibu, mengapa ayah tidak percaya yang Hariz ini anak ayah? Bukankah ayah sepatutnya gembira akan mendapat seorang anak setelah lima tahun menunggu? Mengapakah ayah bencikan Hariz? Apa salah Hariz? Hariz dapati ibu tidak lagi bercakap dengan Hariz. Adakah semuanya baik-baik saja?
Pada suatu malam, ayah pulang rumah. Baunya hapak dan dia tidak bercakap dengan betul. Jalannya tidak lurus dan tiap-tiap kali dia terjatuh ke lantai. Matanya yang merah tidak dibuka, tidak ditutup. Pertengkaran masih berulang walaupun keadaannya sebegitu. Dia asyik menimbulkan perkara tentang kandungan bayi. Dia sering menyebut, “Hapuskan…” dan katakan “Tidak mungkin kerana saya ada azoospermia. ” Apa itu azoospermia? Ibu cuba tenangkan ayah. Tiba-tiba ayah memukul ibu lagi. Dia mengugut. Ibu menangis tanpa henti di biliknya yang dikunci. Hariz rasa ibu hiba dan sakit. Bila besar nanti, Hariz janji akan melindungi dan menyelamatkan ibu daripada terus dipukul oleh ayah. Hariz akan bertarung nyawa sekalipun demi untuk ibu.
Ibu tidak pernah berborak atau membelai Hariz semenjak ayah pulang. Hariz cemas. Ibu dah tak sayangkan Hariz lagi, ke? Hariz masih sayangkan ibu. Masa ibu tidurlah satu-satunya waktu Hariz dapat rasakan ibu. Ibu tidur mereng sambil memeluk perut ibu. Hariz berasa selamat. Mengapa ibu tidak berbuat sedemikian apabila bangun setiap pagi?
Hari ini Hariz sudah berusia 20 minggu. Ibu tidak banggakan Hariz? Hari ini kita menuju ke suatu tempat yang baharu. Hariz sungguh ghairah! Ibu, kita berada di hospital, bukan? Hariz tidak sabar ingin keluar. Hariz sudah beritahu ibu yang Hariz azamkan menjadi seorang doktor. Hariz harap ibu seghairah Hariz. Hariz tidak sabar.
…Ibu, Hariz berasa khuatir dan takut. Jantung ibu berdebar-debar sepantas kilat. Hariz tidak tahu apa yang difikirkan ibu. Doktor sedang bertutur dengan ibu. Ibu, Hariz rasa suatu perkara akan berlaku sebentar lagi. Tolonglah, beritahu Hariz yang ibu sayangkan Hariz. Hariz amat menyayangi ibu.
Ibu, ibu! Apa yang sedang mereka lakukan pada Hariz? Sungguh perit! Pedih! Aduh, ibu, hentikan mereka! Sakit! Ibu, tolong Hariz, hentikan mereka! Jangan sentap tangan Hariz! Oh, kaki Hariz putus bu! Hancur kepala Hariz! Tapi hati Hariz lebih hancur Bu! Ibu!!
Ibu. Jangan risau, Hariz dikelilingi malaikat di suatu tempat sempurna yang dinamakan ‘Syurga’. Walaupun nikmat di sini, Hariz masih inginkan bersama ibu, hidup di dunia, lindungi ibu dan menjadi doktor. Ibu tak sayangkan Hariz lagi, ke? Tergamak ibu lakukan ini. Hariz sungguh menyayangi ibu. Apakah salah Hariz, ibu? Walaupun memeritkan dihantar ke alam lain sebegini, sesungguhnya Hariz lebih sedih kerana ibu tidak mahu membela Hariz. Hariz cuma ingin hidup melihat senyuman ibu dan apabila besar nanti, Hariz nak menjadi doktor. Salahkah bu? Bencikah ibu pada Hariz?
Hariz sayangkan ibu…
Setiap pengguguran bermaksud satu jantung yang tidak akan berdegup lagi, suatu suara yang tidak akan pernah didengari, sepasang mata yang tidak akan pernah melihat, sepasang tangan yang tidak akan pernah menyentuh, sepasang kaki yang tidak akan pernah berlari…dan suatu nyawa yang tidak akan pernah hidup.
Ibu membuka surat doktor lalu membaca bersama ayah. Terdapat pernyataan yang amat mengejutkan; “Zuhairi mempunyai kondisi “azoospermia” di mana dia tidak dapat menjana mani dan tidak dapat memiliki anak. Namun, kondisinya telah membaik sejak setahun lalu kepada kondisi “oligospermia” yang bermaksud mani boleh dijana, walaupun jumlah mani itu agak sedikit. Kondisi “oligospermia” ini membolehkan isteri mendapat anak.” Sah, janin itu mempunyai DNA daripada kedua ibu bapa. Ibu mengalihkan pandangannya ke arah ayah. Perasaan kesal merasuk tubuh ibu. Iris matanya pudar…
No comments:
Post a Comment