Friday, January 7, 2011

penghargaan untuk guruku

Dikhaskan untuk guruku,
Engkau adalah cahaya dalam kegelapan diriku,
Yang sentiasa menyinarkan jiwaku;
Engkau menghulurkan seribu pertolongan
Walaupun ku hanya minta satu.
Engkau telah berjaya
Membesarkan anak bangsa dalam diriku.
Guru yang terhandal,
Engkau juga telah menyedariku
Akan baik buruk dunia ini.
Aku benar-benar ingin mengucapkan
Jutaan terima kasih
Dari dasar hatiku tetapi untukmu,
                              Tiada dasar hati dalam diriku.

perpisahan.

                               Perpisahan.

Terasa berat hatiku untuk meninggalkan kampungku ini. Sebuah sejarah yang panjang telah tercatat di sini. Aku merenung ke langit yang luas. Teringat pula suatu peristiwa yang pahit macam hempedu. Aku mengalirkan airmata. Betapa kesalnya diriku pada waktu itu. Tindakan aku yang bodoh itu telah menyebabkan perpisahan antara aku dan ibu bapaku. Akulah punca perpisahan itu.

Aku memeluk dan mencium ibu bapaku sebelum menuju ke dewan berlepas untuk menaiki pesawatku. Aku telah diundang untuk memasuki Universiti Cambridge di Cambridge, United Kingdom dengan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, atau STPM, yang amat cemerlang. Aku melambaikan tanganku ke arah ibu bapaku.

Namun, kos pesawat, yuran sekolah, rumah sewa dan wang perbelanjaanku sungguh mahal. Keluargaku pula miskin. Orang tuaku terpaksa membiayai segala kos keperluanku supaya aku dapat belajar di universiti untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan negeri. Mereka pun bekerja bertungkus-lumus selama tiga tahun meskipun sudah tua. Namun begitu, duit yang mereka perolehi tidak mencukupi kos keperluanku. Mereka terpaksa menjual rumah mereka lalu berpindah ke sebuah pondok yang kecil di desa yang sama demi untuk mendapatkan wang untuk diriku. Tambahan lagi,  orang tuaku yang semakin berusia telah menggunakan wang dari wang simpanan mereka. Sementara itu, aku menikmati kemewahan yang diberikan di England. Ibu bapaku tidak pernah menceritakan kepayahan mereka kepada diriku.


Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Keputusan peperiksaan pun diumumkan. Apabila keputusanku diumumkan, aku melonjak dengan kegirangan sambil menangis tanda bersyukur.  Aku berjaya mendapat gred pujian untuk kesemua subjek. Ibu bapaku juga menerima surat mengandungi keputusan peperiksaanku. Mereka puas hati dan amat bangga terhadapku. Usaha mereka sejak kebelakangan ini tidak sia-sia. Mereka dapat juga menemui anak tunggal mereka yang tercinta. Berita itu pun tersebar di suratkhabar dan berita tersebut telah menjadi buah mulut orang ramai di desaku di Malaysia.


Aku tiba di lapangan terbang di tanah airku. Ramai orang telah datang untuk menyambut kepulanganku. Bebola mataku berkeliaran dari kanan ke kiri. Mana orang tuaku? Sekonyong-konyong, aku terserempak mereka dengan pakaian yang compang-camping. Mereka kelihatan comot dan kotor. Jantungku berdebar-debar. Fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Patutkah aku akui bahawa mereka orang tuaku? Aku malu.


Ibu bapaku menghampiriku sepantas kilat. Ibuku mendakapku lalu menciumku. Orang ramai di lapangan terbang tercengang melihat perbuatan mereka. Tanpa berfikir dua kali, aku menolak ibuku sehingga dia tergolek ke lantai. Kepalanya berlumuran darah. Rasa kesal merasuk tubuhku.


“Tergamak kau lakukan ini kepada ibu! Setelah ibu bersusah payah mencari wang untukmu, kau berbuat begini. Kau langsung tak hargai jasa ibu. Tidak pernah ibu mengharapkan balasan tetapi kau anak derhaka! Kau bagaikan kacang lupakan kulit. Pintu syurgamu telah ditutup, wahai anakku!” ujar ibuku dengan nada sedih dan marah serentak.


Ibuku mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan segera aku melaung ‘Ibu! Maafkanku!’ berkali-kali sambil mencium-cium tapak kakinya. Bapaku yang menyaksikan kejadian itu tiba-tiba diserang sakit jantung. Ibu bapaku meninggal dunia sekaligus. Aku berhujan airmata tanpa henti. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Aku terpisah dengan ibu bapaku. Aku tidak berdaya lakukan apa-apa. Aku menangis darah sekalipun, mereka tidak akan kembali ke dunia ini lagi.


Aku mengesat airmataku lalu menyumbatkan bagasi ke dalam teksi. Aku seharusnya menghargai jasa orang tuaku. Aku gerun menantikan nasibku. Terlalu banyak memori pahit yang terputik di kampung ini. Aku berpaling lalu menatap desaku buat kali terakhirnya.

Monday, November 29, 2010

nina bobok.

Nina Bobok.

Aku pernah ternampak lelaki tersebut tetapi di mana ya. Aku ragu-ragu untuk menyapanya. Pada ketika itu, dia sedang menyandar pada sebuah tembok. Lelaki itu berpakaian compang-camping dan lusuh sekali.  Mungkin itu satu-satunya baju yang dia miliki.  Mukanya comot dan dari jarak 2 meter, bau hangit sudah dapat menerpa lubang hidungku.  Rambutnya yang panjang kusut-masai.  Dia memiliki misai dan janggut yang panjang. Kukunya kelihatan hitam, panjang dan kotor. Tangannya kasar dan kelihatan berkematu. Begitu juga dengan kakinya.  Aku tak nampak dia memakai sebarang alas kaki.  Entah bila kali terakhir dia mandi, aku tak tahu.  Aku cuba mendekatinya.

  “Nina bobok oh oh oh Nina Bobok... Nina bobok digigit nyamuk..”

Ya, lagu itu.  Lagu itu, aku pernah dengar.  Merdu dan mencengkam sanubari.  Mengasyikkan.  Aneh.  Ada perasaan aneh yang menyelinap dalam pembuluh darahku dan membuak rasa dalam hati.  Kakiku bagai di awangan mengikut kelunakan lagu itu.  Jiwa terasa syahdu dan asyik.  Tak kusedari, aku sudah berada beberapa langkah di hadapannya.

Sekonyong-konyong, dia menyoalku dengan suaranya yang dalam dan garau, “Sekarang dah pukul berapa?”

Oh! Baru aku teringat! Inilah pak cik yang selalu menanyakan waktu apabila ada orang menghampirinya.  

“Pukul 2.30 petang,pak cik,” aku menjawab pantas.

Setelah mendapat jawapan, lelaki itu menyambung nyanyiannya.  Asyik.

“Nina bobok oh oh oh Nina Bobok... Nina bobok digigit nyamuk..”

Setelah mengingat-ingat, aku rasa aku pernah ternampaknya beberapa kali di Bedok sebelum ini. Aku hairan. Macam mana dia boleh tiba di Woodlands dari Bedok? Dia berjalan kaki ke naik teksi? Tak mungkin lelaki itu menaiki bas atau MRT.  Pasti menumpang lain merungut kerana bau busuknya.  Teksi pun tak berani mengambil penumpang sepertinya.  Takut bau badannya melekat dalam teksi.  Suwey! 

Kalau dia berjalan kaki dari Bedok, mungkin juga.  Aku dapat melihat kakinya yang berketak kerana sebelah seluar terlipat paras lutut.  Berurat sasa bagai akar banir.  Pasti kuat berjalan dan berlari.  Aku pasti sekali, lelaki ini bukan lelaki sembarangan.  Ada sesuatu tentang dirinya yang amat menarik perhatianku.

“Pakcik dah makan?”  Aku bertanya.  Tiada jawapan.  Lelaki itu sedang asyik mendendangkan lagu itu.  Hanya lagu itu.  Tiba-tiba dia tersentak.

“Nina!  Nina jangan pergi!!”  Lelaki itu tiba-tiba histeria memandang mataku.  Matanya begitu redup penuh mengharap, penuh syahdu, penuh rahsia.  Aku terpaku.  Tak sanggup menyangkal atau menolaknya. 

“Nina!  Jangan tinggalkan abah!!”  Lelaki itu dengan cepat mencapai kakiku.  Aku jadi takut.

“Jangan pakcik, saya bukan Nina! Tolong.  Tolong!”  Aku menjerit sekuat hati. Beberapa orang cuba meleraikan pautan tangan sasa lelaki itu daripada kakiku.  Tangannya mencengkam kejap dan erat sekali.  Aku jatuh terduduk.  Pautan masih tak dilepaskan.  Aku semakin takut dan meraung sekuat hati.    

Entah bila, sebuah kereta polis tiba.  Mungkin ada orang yang menelefon polis.  Dengan bantuan polis, mereka akhirnya berjaya memisahkan aku daripada lelaki itu.

“Nina, jangan tinggalkan abah lagi!  Kasihanlah kat abah!!”  Lelaki itu meraung menyayat hati.

Kasihan.  Jiwanya sepi.  Mungkin jiwanya telah dirampas penderitaan.  Aku percaya, ada sesuatu yang menjadikan lelaki itu tidak dapat membezakan antara kewajaran, khayalan dan kenyataan.

“Nina, dah pukul berapa?!”  Lelaki itu sempat menjerit kepadaku sebelum dimasukkan ke dalam kereta polis.   

Aku menjeling jam tanganku. 
  
“Pukul 2.37 petang,pak cik...” aku menjawab sambil berlinangan airmata.  Kedengaran lagu itu didendangkan lagi.

  “Nina bobok oh oh oh Nina Bobok...Nina bobok digigit nyamuk..."